Saturday, June 13, 2009

PERTANDINGAN PANCARAGAM INSTITUSI KANAK-KANAK, JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT KALI KE 14 DI KUANTAN PADA 8 – 11 JUN 2009.

Pertandingan Pancaragam Institusi Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Malaysia Kali Ke 14 tamat secara rasmi pada 11 JUN 2009

Penyertaan terbuka kepada semua Institusi kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat merangkumi STB (Sekolah Tunas Bakti), RKK (Rumah Kanak-Kanak), RTH (Rumah Tunas Harapan) dan Asrama Akhlak kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terdapat seluruh Malaysia.

Acara Pertandingan Pancaragam merupakan acara tradisi sejak dahulu lagi. Mulai tahun 2009 ini, dua acara baru telah dimasukan sebagai tambahan bagi memberi lebih ruang penyertaan melalui acara Poco-Poco dan Kompang Berirama.

Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Dato’ Wan Rosdy bin Wan Ismail, Exco Negeri Pahang selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup pada 11 JUN 2009 (Khamis) bersamaan 17 J’Akhir 1430 H bertempat di Padang Utama Kolej Islam Sultan Haji Ahmad Shah (KIPSAS) Kuantan.

Sebanyak kira-kira 1,200 orang perserta, pegawai pengiring dan pertugas terlibat secara langsung dalam acara Kali Ke 14 tersebut. Semua negeri kecuali Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan menghantar kontigen masing-masing ke Kuantan, Pahang.

Semua peserta dan pegawai pengiring kontigen masing-masing telah ditempat di KIPSAS dan SEMSAS (Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Kuantan) sepanjang tempoh pertandingan tersebut.

Acara tradisi pertandingan pancaragam telah dimenangi oleh STB Teluk Air Tawar, P.Pinang (Johan Kategori lelaki) dan STB Marang , Terengganu (Johan Kategori Perempuan).

Dalam acara baru diperkenalkan; RKKTAF ( RKK Tengku Ampuan Fatimah , Kuantan) menjadi Johan dalam acara Poco-Poco dan tempat keenam dalam acara Kompang Berirama. STB Sungai Besi, Selangor pula menjadi Johan dalam acara Kompang Berirama.

Tahniah kepada semua pemenang dalam acara yang diadakan. Kepada semua peserta dan pegawai pengiring, kesempatan berkampung di Kuantan dan ruang serta peluang menjalin silatulrahim adalah terlalu berharga untuk dikenang.

Atas komitmen semua peserta, para pegawai pengiring dan petugas telah menjadikan acara pertandingan kali ke 14 yang baru lepas berjaya dilaksanakan.

Jika ada sebarang kesulitan dialami semasa tempoh berada di sisi, diharapkan para kontigen memaafkan dan menerima dengan hati terbuka.

Pihak Lembaga Pelawat RKKTAF Kuantan merakamkan Ucapan Setinggi-tinggi Penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, JKM Negeri Pahang, KIPSAS, SEMSAS, Urusetia & Petugas Pertandingan, Para pegawai & peserta kontigen yang hadir dan semua orang perseorangan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan pertandingan kali ke 14 yang meriah.

Sehingga berjumpa lagi dalam acara pertandingan Kali ke 15, diakhiri dengan pantun penutup kata:

Makan berangan manis
Tergigit pahit, buangkan
Ingatlah kenangan manis
Jikalau pahit, buangkan



Catatan oleh: Setiausaha Lembaga Pelawat RKKTAF
Sumber Maklumat: Timbalan Pengetua RKKTAF

Tarikh: 12 JUN 2009 / 18 J’Akhir 1430 H (Jumaat)