Tuesday, October 12, 2010

SAMBUTAN AIDILFITRI DI RKKTAF 08.10.2010

Hari jumaat tanggal 08 Oktober 2010 bersamaan 28 Syawal 1431 H amat bermakna buat semua kanak-kanak penghuni yang ditempatkan di RKKTAF Kuantan.

Lembaga Pelawat bersama-sama Pentadbiran RKKTAF Kuantan meraikan mereka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di perkarangan RKKTAF secara terbuka menggunakan kemudahan yang ada termasuk mendirikan beberapa buah kanopi untuk keselesaan dan suasana perayaan hari raya yang sebenar.

Acara telah berlangsung seperti mana dijadualkan waktu petang selepas solat Jumaat. Para petugas dan staf RKKTAF dan Lembaga Pelawat yang berpakaian Baju Melayu telah bersama-sama melayan kanak-kanak penghuni RKKTAF serta tetamu jemputan serta keluarga masing-masing.

Berbagai jenis makanan dan minuman disediakan dan ditempatkan di bebarapa ‘gerai’ khas memudahkan hadirin bergerak untuk mengambil makanan dan minuman pilihan mereka.

Lemang, sate & ketupat, laksa, ayam goreng, cendol, kuehtiau, rojak buah, buah-buahan adalah di antara bahan menu turut dihidangkan.

Sebagaimana sambutan hari raya di mana-mana, pihak Lembaga Pelawat melalui pengerusi dan Jabatan kebajikan Masyarakat / RKKTAF melalui timbalanya telah menyampaikan ‘duit raya’ kepada semua kanak-kanak penghuni di majlis tersebut. Juga tidak ketinggalan diagihkan kepada kanak-kanak lain yang hadir bersama ibu bapa mereka.

Sambil menikmati jamuan hari raya, semua hadirin telah dihiburkan oleh kanak-kanak penghuni RKKTAF dengan persembahan menghiburkan semua termasuk tarian dan nyanyian.

Lembaga Pelawat amat berterima kasih kerana kehadiran Timbalan Pengarah JKM Pahang , Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan, Pengetua & Staf RKKTAF , Ahli Lembaga Pelawat , para jemputan bersama keluarga masing-masing. Juga turut hadir Pengetua Rumah Kanak-Kanak Penor yang baru di jalan Kuantan-Pekan.

Kepada semua yang menyumbangkan tenaga dan kewangan menjayakan sambutan hari raya RKKTAF 1431 H pada 08 Oktober 2010 yang lalu dirakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih.

Sebarang kekurangan dan kelemahan mohon dimaafkan.

Catatan:
Setiausaha Lembaga Pelawat RKKTAF

Tarikh: 11.10.2010