Monday, July 5, 2010

PROGRAM TITIAN KASIH TAHUN 2010


Dari kiri...Bendahari & SU (L.Pelawat), Pengetua & Guru (SMK.Lepar Hilir,Kuantan)

Sukaneka--- acara masuk air dalam botol..

Ketua Biro Sukan & Rekrasi L.Pelawat RKKTAF...

Pengadil acara Tarik tali...berikan arahan....

Sukarelawan daripada SMK Lepar Hilir ( Pengawas Sekolah & Pusat Sumber)

Sukarelawan daripada SMK Lepar Hilir ( Pengawas Sekolah & Pusat Sumber)

Majlis Penutup..Dari kiri..Pengetua RKKTAF, Pengarah kolej Komuniti P.Besar, Pengerusi L.Pelawat RKKTAF , Pengetua SMK. Lepar Hilir ...

Pengacara Majlis Penutup...daripada Kolej Komuniti Paya Besar, Kuantan

Pengerusi Lembaga Pelawat ...berucap

Pengetua SMK. Lepar Hilir menyampaikan kutipan sumbangan daripada warga sekolah & PIBG kepada Pengetua RKKTAF ...


Program Titian Kasih RKKTAF Kuantan ala karnival sukan telah diadakan pada 04 JULAI 2010 (Ahad) di RKKTAF Kuantan pada jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang berbentuk sukaneka dan sukan (padang).

Program ini adalah anjuran Lembaga Pelawat bersama SMK. Lepar Hilir, KPNDKK, Kolej Komuniti Paya Besar dengan kerjasama Pengetua & staff RKKTAF, Perasa Management, PDRM , APMM dan MRSM.

Objektif program adalah memupuk sinar kegembiraan dengan menerapkan kesedaran kasih sayang, rasa dihargai dan kesyukuran kepada kanak-kanak di RKKTAF disamping membina hubungan baik jangka panjang dengan masyarakat luar.

Warga SMK Lepar Hilir, Kuantan di bawah pimpinan Pengetua (En Ibrahim Mat Akil) , sepuluh orang guru dan lapan puluh Pengawas Sekolah & Pengawas Pusat Sumber Sekolah tiba di RKKTAF Kuantan awal pagi sebelum program dimulakan bertempat di Padang Bola RKKTAF .

Kesungguhan para sukarelawan datang dalam jarak kira-kira 50 KM ke RKKTAF amatlah dihargai. Mereka berlepas dari SMK Lepar Hilir kira-kira jam 7.00 pagi. Diharap mereka bergembira sambil menabur khidmat bakti kepada kanak-kanak yang ditempatkan di RKKTAF Kuantan.

Para sukarelawan Kolej Komuniti Paya Besar pula diketuai oleh Pengarahnya En Sha’amry Mohd Yusuf.

Di antara petugas sukarelawan KPNDKK yang sempat ditemui ialah En Nordin dan Pn Intan Kartini.

Acara ala karnival sukan telah dimulakan dengan lintas hormat di hadapan Pengetua RKKTAF mewakili YH Dato’ Pengarah JKM Pahang, oleh kanak-kanak penghuni RKKTAF termasuk Staf dan para sukarelawan yang telah dibahagikan mengikut rumah sukan Merah, Hijau, Biru dan Kuning.

Acara Tarik Tali adalah acara kemuncak selepas beberapa acara termasuk tiup belon, bawa bola ping pong dalam sudu dan rebut kerusi kecil.

Keistimewaan program ini ialah semua kanak-kanak di RKKTAF ini mendapat hadiah-hadiah yang disediakan. Penentuan tempat pertama, kedua dan ketiga dalam pertandingan adalah ibarat rencah penyeri pemangkin keseronokan dan kegembiraan mereka.

Aturcara seterusnya dijalankan di Dewan RKKTAF dikendalikan oleh Pengacara Majlis Cik Nur Shuhadah Mahadi dari Kolej Komuniti Paya Besar, Kuantan.

En Ibrahim Mat Akil selaku Pengetua SMK. Lepar Hilir menyatakan hasratnya agar program seperti ini diadakan sebagai acara tahunan dengan penambahbaikan mana-mana kekurangan program pertama ini. Beliau juga menyampaikan sumbangan warga sekolah termasuk PIBG kepada Pengetua RKKTAF.

Pihak Lembaga Pelawat mengalukan hasrat mulia Pengetua SMK Lepar Hilir yang bertujuan membantu RKKTAF di samping memotivasi pelajar sekolahnya yang terlibat sama sebagai sukarelawan.

Program Titian Kasih ini sebenarnya bermula 15 Mei 2010 lagi dengan kehadiran sukarelawan Kolej Komuniti dengan aktiviti gotong-royong dan melukis mural.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pelawat RKKTAF Kuantan.

Kepada semua Ahli Lembaga Pelawat yang hadir dalam Program Titian Kasih pada 04 JUAL 2010 dan 15 MEI 2010 diucapkan berbanyak terima kasih kerana dapat menghadirkan diri.

Kami seluruh Ahli Lembaga Pelawat RKKTAF Kuantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak individu dan organisasi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung hingga membolehkan Program Titian Kasih berjalan lancar dalam cuaca redup bagaikan merestui program yang amat bermakna tersebut.

Kami juga mohon berbanyak maaf sekiranya terdapat kekurangan yang tidak menyenangkan sepanjang tempoh program dijalankan.

Diakhiri dengan serangkap puisi buat mengamit sumbangan dermawan dan kehadiran para sukarelawan buat masa mendatang.demi kesejahteraan semua kanak-kanak yang ditempatkan di RKKTAF Kuantan:

“Kanak-kanak disayangi
Orang dewasa dihormati
Usah jemu datanglah lagi
Kami sini sedia menanti”


catatan:
Setiausaha Lembaga Pelawat
05/07/2010 (Isnin)

Friday, April 30, 2010

SIJIL PERLANTIKAN LEMBAGA PELAWAT 2010/2012

PENYAMPAIAN SIJIL PERLANTIKAN OLEH JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

Mesyuarat sempena perlantikan baru Ahli Lembaga Pelawat RKKTAF Kuantan telah diadakan sperti pemakluman Pengetua RKKTAF pada 29 APRIL 2010 (Khamis) bertempat di Dewan Serba Guna RKKTAF. Mesyuarat Pertama bagi sesi 2010/2012 ditangguhkan jam 5.35 petang.

Semua Ahli Lembaga Pelawat sesi 2010/2012 telah hadir. Pengerusi lama YM Raja Ismail Raja Shahadan dikekalkan atas lantikan terus Menteri.

Sijil Perlantikan Rasmi oleh Menteri telah disampaikan oleh Pn Nazare Yusra bt Mohamed Yusof mewakili Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang. Senarai penuh semua Ahli Lembaga Pelawat adalah seperti berikut:
1. Raja Ismail bin Raja Shahdan - Pengerusi
2. Hj Mohd Shari bin Hj Md Pilus - Setiausaha
3. Chaik Meng Keng - Bendahari
4. Hjh Sharifah Rohani bt Syed Ibrahim
5. Fong Ah Kam
6. Wan Ismail bin Wan Majid
7. Jeyarani A/P Sivasubramaniam
8. Norrimas bt Nordin
9. Dr Rashidah bt Abd Rahman
10. K.Rajagopal
11. Hjh Shakura bt Yusof
12. Hjh Rubiah bt Sidin
13. Norhanalina bt Nordin

Taklimat ringkas berkaitan Bidang Tugas dan Tanggungjawab Ahli Lembaga Pelawat telah disampaikan oleh Pn Nazare Yusra dengan setiap Ahli Lembaga Pelawat diberikan sesalinan bertulis AKTA KANAK-KANAK 2001 – Peraturan-Peraturan Kanak-Kanak (Tempat Selamat) 2007 dalam P.U.(A) 368.

Selamat menunaikan amanah dan tanggungjawab sedaya upaya seperti yang dihasratkan oleh JKM.

Catatan oleh Setiausaha.
29 APRIL 2010 (Khamis)

Friday, April 23, 2010

LEMBAGA PELAWAT RKKTAF SESI 2010/2012

Pengetua RKKTAF Kuantan Pahang telah memaklumkan perlantikan baru oleh Menteri untuk tempoh 2010/2012 selama dua tahun berkuatkuasa 1 MAC 2010 hingga 29 FEBRUARI 2012 melalui surat pemberitahuan dan jemputan menghadiri mesyuarat sempena berlantikan baru tersebut seperti ketetapan berikut:

Tarikh : 29 APRIL 2010 (Khamis)
Masa : 03.30 petang
Tempat : Dewan Sebaguna,
RKKTAF Kuantan.

Adalah diharapkan MESYUARAT SEMPENA PERLANTIKAN BARU AHLI LEMBAGA PELAWAT RUMAH KANAK-KANAK TENGKU AMPUAN FATIMAH, KUANTAN tersebut di atas akan dihadiri oleh semua ahli sesi baru yang berkenaan dengan komposisi sebahagian ahli sesi terdahulu 2008/2010 serta ahli-ahli baru dilantik.

Selamat melaksanakan khidmat kesukarelawan "Khidmat Diberi, Ikhlas Di hati".


Catatan: 23.04.2010

Friday, January 29, 2010

MESYUARAT LEMBAGA PELAWAT KALI KE-12

Tarikh - 28 JANUARI 2010 (Khamis)
Masa - 5.00 petang
Tempat - Bilik Mesyuarat RKKTAF Kuantan.

Seperti semua mesyuarat bulanan terdahulu, Mesyuarat Lembaga Pelawat kali ke-12 turut disertai oleh pihak pentadbir RKKTAF yang diwakili oleh Pengetua dan Timbalan Pengetua.

Kehadiran samada Pengetua atau pun Timbalan Pengetua adalah suatu kemestian dalam pastikan segala perkara perbincangan mencakupi aspek kebajikan kanak-kanak penghuni di RKKTAF dibuat secara terbuka dalam mesyuarat dan melaksanakan tindakan susulan bersesuaian.

Tempoh kuatkuasa perlantikan Ahli Lembaga Pelawat sesi 2008/2010 akan tamat pada 21 Februari 2010 seperti dimaklumkan dalam surat perlantikan Ahli Lembaga Pelawat.

Lembaga Pelawat RKKTAF sebagai satu badan dan individu selaku ahli dalam lembaga Pelawat telah berbuat sebaik mungkin memberi sumbangan kesukarelawan sesuai dengan motto "Khidmat Diberi, Ikhlas Di Hati" yang diwarisi daripada Lembaga Pelawat sesi terdahulu.

Dengan perkembangan ICT, Lembaga Pelawat sesi 2008/2010 mewujudkan BLOG khas untuk merakamkan hal-hal berkaitan Lembaga Pelawat RKKTAF serta perjalanan RKKTAF sendiri.

Perkara dan aktiviti yang dapat dilaporkan dan dirakamkan adalah sebahagian kecil daripada semua aktiviti sebenar.

Melalui BLOG ini, Lembaga Pelawat sesi 2008/2010 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak organisasi, koperat, para dermawan, tokoh dan orang perseorangan yang tidak dapat disebutkan namanya satu persatu di sini.

Kepada Pentadbir dan kakitangan RKKTAF, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Lembaga Pelawat merakamkan berbanyak terima kasih atas kerjasama diberikan semasa kami menjalankan amanah tersebut.

Ahli Lembaga Pelawat selaku insan biasa tidak sunyi daripada kelemahan dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Kami mohon banyak maaf atas sebarang kekurangan kami tersebut.

Kepada Ahli Lembaga Pelawat yang bakal menyambung amanah nanti adalah diharapkan dapat meneruskan motto Lembaga Pelawat RKKTAF "Khidmat Diberi, Ikhlas Di Hati"

Terima kasih,

HJ MOHD SHARI BIN HJ MD PILUS
Setiausaha Lembaga Pelawat Sesi 2008/2010

Tarikh : 29 JANUARI 2010.

Tuesday, December 8, 2009

SEBAHAGIAN GAMBAR KURSUS PEMANTAPAN KERJA RKKTAF


NOTIS PEMAKLUMAN .... Kursus Pemantapan Kerja Kakitangan RKKTAF Kuantan

PENCERAMAH / PEMUDAHCARA TUAN HJ HAMAZAH (JKM Pahang) .... berinteraksi dengan peserta

KEPIMPINAN MELALUI TELADAN .... Pn Hjh Rukiyah (Pengetua RKKTAF) ikutserta (Kanan Sekali)

SEBAHAGIAN PESERTA .... Beri tumpuan kepada maklumat disampaikan

TUAN HJ HAMAZAH DARI JKM PAHANG .... Sebagai Penceramah / Pemudahcara

SEBAHAGIAN PESERTA .... Khusuk mendengar pengisian disampaikan.
..................
KURSUS PEMANTAPAN KERJA
KAKITANGAN RKKTAF KUANTAN 2009

Pihak pentadbiran RKKTAF Kuantan telah mengambil inisiatif amat tepat dalam usaha berterusan memantapkan pengurusan pentadbiran RKKTAF Kuantan.

Selama tiga hari berturut-turut pada 07 Disember 2009 (Isnin), 08 Disember 2009 (Selasa) dan 09 Disember 2009 ( Rabu) bertempat di Annexe Rest House, Jalan Telok Chempedak, Kuantan diadakan kursus pemantapan kerja kepada semua kakitangan RKKTAF Kuantan.

Para kakitangan telah diagihkan kepada tiga kumpulan besar yang setiap kumpulan hanya perlu hadir sehari dalam waktu kerja pejabat supaya urusan pentadbiran seharian RKKTAF dan kebajikan penghuninya termasuk bayi dan kanak-kanak tidak terjejas.

Pengisian disusunatur berkaitan dengan bidang kerja dan hal-hal berkaitan supaya setiap orang pekerja memahami perkara perlu dan perkara yang terlarang sebagai petugas yang berkhidmat di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat baik sepenuh masa mahupun petugas sambilan.

Tanggungjawab mereka adalah sama dan wajib saling memahami bidang tugas diri dan rakan-rakan sekerja lain iatu demi kebajikan anak-anak kurang bernasib baik terpaksa berada di RKKTAF dengan mematuhi Undang-Undang dan Peraturan sediada.

Kursus Pemantapan Kerja Kakitangan RKKTAF kali ini telah mengundang pegawai-pegawai mewakili Jabatan Kesihatan Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang sendiri bertindak sebagai penceramah / pemudahcara.

Terima kasih kepada Pengetua dan Timbalannya yang memberikan kerjasama membolehkan pihak Lembaga Pelawat merakamkan kegiatan serta gambar berkaitan dalam blog Lembaga Pelawat “Khidmat Diberi, Ikhlas Di Hati” ini.


Catatan:
Setiausaha
Lembaga Pelawat RKKTAF sesi 2008/2010
Tarikh: 08 Disember 2009.

Saturday, June 13, 2009

PERTANDINGAN PANCARAGAM INSTITUSI KANAK-KANAK, JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT KALI KE 14 DI KUANTAN PADA 8 – 11 JUN 2009.

Pertandingan Pancaragam Institusi Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Malaysia Kali Ke 14 tamat secara rasmi pada 11 JUN 2009

Penyertaan terbuka kepada semua Institusi kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat merangkumi STB (Sekolah Tunas Bakti), RKK (Rumah Kanak-Kanak), RTH (Rumah Tunas Harapan) dan Asrama Akhlak kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terdapat seluruh Malaysia.

Acara Pertandingan Pancaragam merupakan acara tradisi sejak dahulu lagi. Mulai tahun 2009 ini, dua acara baru telah dimasukan sebagai tambahan bagi memberi lebih ruang penyertaan melalui acara Poco-Poco dan Kompang Berirama.

Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Dato’ Wan Rosdy bin Wan Ismail, Exco Negeri Pahang selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup pada 11 JUN 2009 (Khamis) bersamaan 17 J’Akhir 1430 H bertempat di Padang Utama Kolej Islam Sultan Haji Ahmad Shah (KIPSAS) Kuantan.

Sebanyak kira-kira 1,200 orang perserta, pegawai pengiring dan pertugas terlibat secara langsung dalam acara Kali Ke 14 tersebut. Semua negeri kecuali Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan menghantar kontigen masing-masing ke Kuantan, Pahang.

Semua peserta dan pegawai pengiring kontigen masing-masing telah ditempat di KIPSAS dan SEMSAS (Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Kuantan) sepanjang tempoh pertandingan tersebut.

Acara tradisi pertandingan pancaragam telah dimenangi oleh STB Teluk Air Tawar, P.Pinang (Johan Kategori lelaki) dan STB Marang , Terengganu (Johan Kategori Perempuan).

Dalam acara baru diperkenalkan; RKKTAF ( RKK Tengku Ampuan Fatimah , Kuantan) menjadi Johan dalam acara Poco-Poco dan tempat keenam dalam acara Kompang Berirama. STB Sungai Besi, Selangor pula menjadi Johan dalam acara Kompang Berirama.

Tahniah kepada semua pemenang dalam acara yang diadakan. Kepada semua peserta dan pegawai pengiring, kesempatan berkampung di Kuantan dan ruang serta peluang menjalin silatulrahim adalah terlalu berharga untuk dikenang.

Atas komitmen semua peserta, para pegawai pengiring dan petugas telah menjadikan acara pertandingan kali ke 14 yang baru lepas berjaya dilaksanakan.

Jika ada sebarang kesulitan dialami semasa tempoh berada di sisi, diharapkan para kontigen memaafkan dan menerima dengan hati terbuka.

Pihak Lembaga Pelawat RKKTAF Kuantan merakamkan Ucapan Setinggi-tinggi Penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, JKM Negeri Pahang, KIPSAS, SEMSAS, Urusetia & Petugas Pertandingan, Para pegawai & peserta kontigen yang hadir dan semua orang perseorangan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan pertandingan kali ke 14 yang meriah.

Sehingga berjumpa lagi dalam acara pertandingan Kali ke 15, diakhiri dengan pantun penutup kata:

Makan berangan manis
Tergigit pahit, buangkan
Ingatlah kenangan manis
Jikalau pahit, buangkan



Catatan oleh: Setiausaha Lembaga Pelawat RKKTAF
Sumber Maklumat: Timbalan Pengetua RKKTAF

Tarikh: 12 JUN 2009 / 18 J’Akhir 1430 H (Jumaat)

Thursday, April 2, 2009

SUMBANGAN AMAT DIHARGAI.

LALUAN KE RKKTAF KUANTAN





DI BAHAGIAN KIRI PINTU MASUK


DI LALUAN MEMASUKI RKKTAF


DI BAHAGIAN KANAN PINTU MASUK


NOTIS DI POS PENGAWAL


RKKTAF Kuantan Pahang sangat mengalukan sebarang sumbangan bakti kepada kanak-kanak penghuni yang ditempatkan di sini.
Pengurusan RKKTAF ini diuruskan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, Peraturan-Peraturan Kanak-kanak (tempat Selamat) 2007.
Dari semasa ke semasa banyak pihak individu baik secara peribadi mahupun mewakili badan atau organisasi tertentu (kerajaan dan bukan kerajaan) hadir ke RKKTAF untuk menyampaikan sumbangan ataupun berurusan dengan Pengetua semata-mata demi kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak di sini.
Kerjasama tuan dan puan sangatlah dihargai dalam mematuhi peraturan keluar masuk demi mematuhi tatacara keselamatan RKKTAF Kuantan.
Sumbangan dalam bentuk kewangan tunai dan cek akan diberikan resit rasmi pengakuan terimaan yang mendapat pelepasan dikecualikan cukai oleh LHDN.

BARANGAN YANG TIDAK DIBENARKAN / MOHON TIDAK SUMBANGKAN:

(a) Makanan ringan dan yang seumpamanya.

(b) Pakaian buruk

(c) Barangan busuk.

(d) Untuk maklumat lanjut - sila telefon Pejabat RKKTAF Kuantan: 09 - 5667866

Sedikit panduan bagi memudahkan para dermawan yang tidak biasa dengan lokasi dan yang ingin hadir sendiri ke RKKTAF.
(a) RKKTAF Kuantan terletak di Jalan Tengku Muhamad berhampiran dengan kompleks sekolah ( SMK. Alor Akar, SMK Tenkik Kuantan, SMK Teknik Pelindung, SMK Tengku Ampuan Afzan dan SK Assunta Kuantan)
(b) Bukit Pelindung jelas kelihatan dari RKKTAF.
(c) Bersetentangan RKKTAF adalah kompleks Polis.
(d) Jalan mudah ke RKKTAF adalah melalui Jalan Kuantan-Kemaman, Terengganu.

Jika dari bandar Kuantan menghala ke Kemaman, Terengganu - Sila belok ke kanan di persimpangan LAMPU ISYARAT berhampiran bangunan Jabatan Pemetaan & Ukur Malaysia, Pahang.
Jika dari Kemaman, selepas Beserah seperti di atas , sila belok ke kiri.
Jarak dari persimpangan ke RKKTAF kuantan kira-kira 500 meter.

Lembaga Pelawat dan seluruh warga RKKTAF mengalukan dan menghargai semua sumbangan / derma ikhlas para dermawan semenjak kewujudan RKKTAF tahun 1964 .


Setiausaha
Lembaga Pelawat RKKTAF Kuantan
Tarikh: 02 APRIL 2009