Tuesday, October 12, 2010

SAMBUTAN AIDILFITRI DI RKKTAF 08.10.2010

Hari jumaat tanggal 08 Oktober 2010 bersamaan 28 Syawal 1431 H amat bermakna buat semua kanak-kanak penghuni yang ditempatkan di RKKTAF Kuantan.

Lembaga Pelawat bersama-sama Pentadbiran RKKTAF Kuantan meraikan mereka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di perkarangan RKKTAF secara terbuka menggunakan kemudahan yang ada termasuk mendirikan beberapa buah kanopi untuk keselesaan dan suasana perayaan hari raya yang sebenar.

Acara telah berlangsung seperti mana dijadualkan waktu petang selepas solat Jumaat. Para petugas dan staf RKKTAF dan Lembaga Pelawat yang berpakaian Baju Melayu telah bersama-sama melayan kanak-kanak penghuni RKKTAF serta tetamu jemputan serta keluarga masing-masing.

Berbagai jenis makanan dan minuman disediakan dan ditempatkan di bebarapa ‘gerai’ khas memudahkan hadirin bergerak untuk mengambil makanan dan minuman pilihan mereka.

Lemang, sate & ketupat, laksa, ayam goreng, cendol, kuehtiau, rojak buah, buah-buahan adalah di antara bahan menu turut dihidangkan.

Sebagaimana sambutan hari raya di mana-mana, pihak Lembaga Pelawat melalui pengerusi dan Jabatan kebajikan Masyarakat / RKKTAF melalui timbalanya telah menyampaikan ‘duit raya’ kepada semua kanak-kanak penghuni di majlis tersebut. Juga tidak ketinggalan diagihkan kepada kanak-kanak lain yang hadir bersama ibu bapa mereka.

Sambil menikmati jamuan hari raya, semua hadirin telah dihiburkan oleh kanak-kanak penghuni RKKTAF dengan persembahan menghiburkan semua termasuk tarian dan nyanyian.

Lembaga Pelawat amat berterima kasih kerana kehadiran Timbalan Pengarah JKM Pahang , Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan, Pengetua & Staf RKKTAF , Ahli Lembaga Pelawat , para jemputan bersama keluarga masing-masing. Juga turut hadir Pengetua Rumah Kanak-Kanak Penor yang baru di jalan Kuantan-Pekan.

Kepada semua yang menyumbangkan tenaga dan kewangan menjayakan sambutan hari raya RKKTAF 1431 H pada 08 Oktober 2010 yang lalu dirakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih.

Sebarang kekurangan dan kelemahan mohon dimaafkan.

Catatan:
Setiausaha Lembaga Pelawat RKKTAF

Tarikh: 11.10.2010

Monday, August 16, 2010

LAPORAN KEWANGAN TABUNG LEMBAGA PELAWAT BAGI TAHUN BERAKHIR 31.12.2009

Alhamdullilah bersyukur kita seperti tahun-tahun sebelumnya, Lembaga Pelawat RKKTAF telah menyempurnakan keperluan penyediaan LAPORAN KEWANGAN BAGI TAHUN BERAKHIR 31 DISEMBER 2009.

Sesalinan laporan berkaitan yang telah diaudit oleh audit luar yang bertauliah telah dihantar kepada Pengarah LHDN Malaysia dan Pengarah JKM Malaysia untuk makluman dan rekod.

Laporan kewangan tersebut mengandungi butiran-butiran Laporan Juruaudit, Lembangan Imbangan, Akaun Pendapatan dan Perbelanjaan dan Nota kepada Akaun.

Adalah diharapkan para penderma sediada terdiri daripada dermawan individu , agensi, badan kerajaan dan koperat serta pihak swasta lain akan terus menyalurkan sumbangan demi kesejahteraan kanak-kanak penghuni yang ditempatkan di RKKTAF ini.

INSYAALLAH kami sebagai ahli Lembaga Pelawat bersama pentadbir RKKTAF akan pastikan sumbangan para dermawan digunakan sebaik mungkin sepertimana dibolehkan oleh peraturan sediada tambahan kepada peruntukan tahunan yang disalurkan oleh kerajaan.

Kepada para dermawan baru sukacita dimaklumkan bahawa setiap ringgit sumbangan kepada tabung lembaga pelawat adalah diberikan resit akuan penerimaan rasmi dan dikecualikan cukai oleh LHDN.

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini Lembaga Pelawat RKKTAF berbesar hati supaya RKKTAF akan menjadi salah satu daripada tempat saluran penerima sumbangan ikhlas para dermawan.

Untuk sebarang maklumat dan penyaluran sumbangan derma para dermawan, silalah hubungi pihak pentadbir RKKTAF (waktu pejabat) di talian telefon: 09 – 566786 dan 09 – 5602021 serta No. Fax : 09 – 5681604.

Catatan oleh:
Setiausaha Lembaga Pelawat RKKTAF

Tarikh: 14 Ogos 2010.

Monday, July 5, 2010

PROGRAM TITIAN KASIH TAHUN 2010


Dari kiri...Bendahari & SU (L.Pelawat), Pengetua & Guru (SMK.Lepar Hilir,Kuantan)

Sukaneka--- acara masuk air dalam botol..

Ketua Biro Sukan & Rekrasi L.Pelawat RKKTAF...

Pengadil acara Tarik tali...berikan arahan....

Sukarelawan daripada SMK Lepar Hilir ( Pengawas Sekolah & Pusat Sumber)

Sukarelawan daripada SMK Lepar Hilir ( Pengawas Sekolah & Pusat Sumber)

Majlis Penutup..Dari kiri..Pengetua RKKTAF, Pengarah kolej Komuniti P.Besar, Pengerusi L.Pelawat RKKTAF , Pengetua SMK. Lepar Hilir ...

Pengacara Majlis Penutup...daripada Kolej Komuniti Paya Besar, Kuantan

Pengerusi Lembaga Pelawat ...berucap

Pengetua SMK. Lepar Hilir menyampaikan kutipan sumbangan daripada warga sekolah & PIBG kepada Pengetua RKKTAF ...


Program Titian Kasih RKKTAF Kuantan ala karnival sukan telah diadakan pada 04 JULAI 2010 (Ahad) di RKKTAF Kuantan pada jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang berbentuk sukaneka dan sukan (padang).

Program ini adalah anjuran Lembaga Pelawat bersama SMK. Lepar Hilir, KPNDKK, Kolej Komuniti Paya Besar dengan kerjasama Pengetua & staff RKKTAF, Perasa Management, PDRM , APMM dan MRSM.

Objektif program adalah memupuk sinar kegembiraan dengan menerapkan kesedaran kasih sayang, rasa dihargai dan kesyukuran kepada kanak-kanak di RKKTAF disamping membina hubungan baik jangka panjang dengan masyarakat luar.

Warga SMK Lepar Hilir, Kuantan di bawah pimpinan Pengetua (En Ibrahim Mat Akil) , sepuluh orang guru dan lapan puluh Pengawas Sekolah & Pengawas Pusat Sumber Sekolah tiba di RKKTAF Kuantan awal pagi sebelum program dimulakan bertempat di Padang Bola RKKTAF .

Kesungguhan para sukarelawan datang dalam jarak kira-kira 50 KM ke RKKTAF amatlah dihargai. Mereka berlepas dari SMK Lepar Hilir kira-kira jam 7.00 pagi. Diharap mereka bergembira sambil menabur khidmat bakti kepada kanak-kanak yang ditempatkan di RKKTAF Kuantan.

Para sukarelawan Kolej Komuniti Paya Besar pula diketuai oleh Pengarahnya En Sha’amry Mohd Yusuf.

Di antara petugas sukarelawan KPNDKK yang sempat ditemui ialah En Nordin dan Pn Intan Kartini.

Acara ala karnival sukan telah dimulakan dengan lintas hormat di hadapan Pengetua RKKTAF mewakili YH Dato’ Pengarah JKM Pahang, oleh kanak-kanak penghuni RKKTAF termasuk Staf dan para sukarelawan yang telah dibahagikan mengikut rumah sukan Merah, Hijau, Biru dan Kuning.

Acara Tarik Tali adalah acara kemuncak selepas beberapa acara termasuk tiup belon, bawa bola ping pong dalam sudu dan rebut kerusi kecil.

Keistimewaan program ini ialah semua kanak-kanak di RKKTAF ini mendapat hadiah-hadiah yang disediakan. Penentuan tempat pertama, kedua dan ketiga dalam pertandingan adalah ibarat rencah penyeri pemangkin keseronokan dan kegembiraan mereka.

Aturcara seterusnya dijalankan di Dewan RKKTAF dikendalikan oleh Pengacara Majlis Cik Nur Shuhadah Mahadi dari Kolej Komuniti Paya Besar, Kuantan.

En Ibrahim Mat Akil selaku Pengetua SMK. Lepar Hilir menyatakan hasratnya agar program seperti ini diadakan sebagai acara tahunan dengan penambahbaikan mana-mana kekurangan program pertama ini. Beliau juga menyampaikan sumbangan warga sekolah termasuk PIBG kepada Pengetua RKKTAF.

Pihak Lembaga Pelawat mengalukan hasrat mulia Pengetua SMK Lepar Hilir yang bertujuan membantu RKKTAF di samping memotivasi pelajar sekolahnya yang terlibat sama sebagai sukarelawan.

Program Titian Kasih ini sebenarnya bermula 15 Mei 2010 lagi dengan kehadiran sukarelawan Kolej Komuniti dengan aktiviti gotong-royong dan melukis mural.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pelawat RKKTAF Kuantan.

Kepada semua Ahli Lembaga Pelawat yang hadir dalam Program Titian Kasih pada 04 JUAL 2010 dan 15 MEI 2010 diucapkan berbanyak terima kasih kerana dapat menghadirkan diri.

Kami seluruh Ahli Lembaga Pelawat RKKTAF Kuantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak individu dan organisasi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung hingga membolehkan Program Titian Kasih berjalan lancar dalam cuaca redup bagaikan merestui program yang amat bermakna tersebut.

Kami juga mohon berbanyak maaf sekiranya terdapat kekurangan yang tidak menyenangkan sepanjang tempoh program dijalankan.

Diakhiri dengan serangkap puisi buat mengamit sumbangan dermawan dan kehadiran para sukarelawan buat masa mendatang.demi kesejahteraan semua kanak-kanak yang ditempatkan di RKKTAF Kuantan:

“Kanak-kanak disayangi
Orang dewasa dihormati
Usah jemu datanglah lagi
Kami sini sedia menanti”


catatan:
Setiausaha Lembaga Pelawat
05/07/2010 (Isnin)

Friday, April 30, 2010

SIJIL PERLANTIKAN LEMBAGA PELAWAT 2010/2012

PENYAMPAIAN SIJIL PERLANTIKAN OLEH JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

Mesyuarat sempena perlantikan baru Ahli Lembaga Pelawat RKKTAF Kuantan telah diadakan sperti pemakluman Pengetua RKKTAF pada 29 APRIL 2010 (Khamis) bertempat di Dewan Serba Guna RKKTAF. Mesyuarat Pertama bagi sesi 2010/2012 ditangguhkan jam 5.35 petang.

Semua Ahli Lembaga Pelawat sesi 2010/2012 telah hadir. Pengerusi lama YM Raja Ismail Raja Shahadan dikekalkan atas lantikan terus Menteri.

Sijil Perlantikan Rasmi oleh Menteri telah disampaikan oleh Pn Nazare Yusra bt Mohamed Yusof mewakili Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang. Senarai penuh semua Ahli Lembaga Pelawat adalah seperti berikut:
1. Raja Ismail bin Raja Shahdan - Pengerusi
2. Hj Mohd Shari bin Hj Md Pilus - Setiausaha
3. Chaik Meng Keng - Bendahari
4. Hjh Sharifah Rohani bt Syed Ibrahim
5. Fong Ah Kam
6. Wan Ismail bin Wan Majid
7. Jeyarani A/P Sivasubramaniam
8. Norrimas bt Nordin
9. Dr Rashidah bt Abd Rahman
10. K.Rajagopal
11. Hjh Shakura bt Yusof
12. Hjh Rubiah bt Sidin
13. Norhanalina bt Nordin

Taklimat ringkas berkaitan Bidang Tugas dan Tanggungjawab Ahli Lembaga Pelawat telah disampaikan oleh Pn Nazare Yusra dengan setiap Ahli Lembaga Pelawat diberikan sesalinan bertulis AKTA KANAK-KANAK 2001 – Peraturan-Peraturan Kanak-Kanak (Tempat Selamat) 2007 dalam P.U.(A) 368.

Selamat menunaikan amanah dan tanggungjawab sedaya upaya seperti yang dihasratkan oleh JKM.

Catatan oleh Setiausaha.
29 APRIL 2010 (Khamis)

Friday, April 23, 2010

LEMBAGA PELAWAT RKKTAF SESI 2010/2012

Pengetua RKKTAF Kuantan Pahang telah memaklumkan perlantikan baru oleh Menteri untuk tempoh 2010/2012 selama dua tahun berkuatkuasa 1 MAC 2010 hingga 29 FEBRUARI 2012 melalui surat pemberitahuan dan jemputan menghadiri mesyuarat sempena berlantikan baru tersebut seperti ketetapan berikut:

Tarikh : 29 APRIL 2010 (Khamis)
Masa : 03.30 petang
Tempat : Dewan Sebaguna,
RKKTAF Kuantan.

Adalah diharapkan MESYUARAT SEMPENA PERLANTIKAN BARU AHLI LEMBAGA PELAWAT RUMAH KANAK-KANAK TENGKU AMPUAN FATIMAH, KUANTAN tersebut di atas akan dihadiri oleh semua ahli sesi baru yang berkenaan dengan komposisi sebahagian ahli sesi terdahulu 2008/2010 serta ahli-ahli baru dilantik.

Selamat melaksanakan khidmat kesukarelawan "Khidmat Diberi, Ikhlas Di hati".


Catatan: 23.04.2010

Friday, January 29, 2010

MESYUARAT LEMBAGA PELAWAT KALI KE-12

Tarikh - 28 JANUARI 2010 (Khamis)
Masa - 5.00 petang
Tempat - Bilik Mesyuarat RKKTAF Kuantan.

Seperti semua mesyuarat bulanan terdahulu, Mesyuarat Lembaga Pelawat kali ke-12 turut disertai oleh pihak pentadbir RKKTAF yang diwakili oleh Pengetua dan Timbalan Pengetua.

Kehadiran samada Pengetua atau pun Timbalan Pengetua adalah suatu kemestian dalam pastikan segala perkara perbincangan mencakupi aspek kebajikan kanak-kanak penghuni di RKKTAF dibuat secara terbuka dalam mesyuarat dan melaksanakan tindakan susulan bersesuaian.

Tempoh kuatkuasa perlantikan Ahli Lembaga Pelawat sesi 2008/2010 akan tamat pada 21 Februari 2010 seperti dimaklumkan dalam surat perlantikan Ahli Lembaga Pelawat.

Lembaga Pelawat RKKTAF sebagai satu badan dan individu selaku ahli dalam lembaga Pelawat telah berbuat sebaik mungkin memberi sumbangan kesukarelawan sesuai dengan motto "Khidmat Diberi, Ikhlas Di Hati" yang diwarisi daripada Lembaga Pelawat sesi terdahulu.

Dengan perkembangan ICT, Lembaga Pelawat sesi 2008/2010 mewujudkan BLOG khas untuk merakamkan hal-hal berkaitan Lembaga Pelawat RKKTAF serta perjalanan RKKTAF sendiri.

Perkara dan aktiviti yang dapat dilaporkan dan dirakamkan adalah sebahagian kecil daripada semua aktiviti sebenar.

Melalui BLOG ini, Lembaga Pelawat sesi 2008/2010 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak organisasi, koperat, para dermawan, tokoh dan orang perseorangan yang tidak dapat disebutkan namanya satu persatu di sini.

Kepada Pentadbir dan kakitangan RKKTAF, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Lembaga Pelawat merakamkan berbanyak terima kasih atas kerjasama diberikan semasa kami menjalankan amanah tersebut.

Ahli Lembaga Pelawat selaku insan biasa tidak sunyi daripada kelemahan dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Kami mohon banyak maaf atas sebarang kekurangan kami tersebut.

Kepada Ahli Lembaga Pelawat yang bakal menyambung amanah nanti adalah diharapkan dapat meneruskan motto Lembaga Pelawat RKKTAF "Khidmat Diberi, Ikhlas Di Hati"

Terima kasih,

HJ MOHD SHARI BIN HJ MD PILUS
Setiausaha Lembaga Pelawat Sesi 2008/2010

Tarikh : 29 JANUARI 2010.